Mengenang
tahun dukacita buat kebebasan media (Bahagian
Pertama)
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Sepatutnya tahun pertama alaf baru
ini, tahun 2000, ditutup dengan penuh kegembiraan, apatah lagi apabila tirai 2000
dilabuhkan bersama perayaan Aidilfitri. Namun bagi pengamal media bebas di negara
ini, tahun 2000 merupakan tahun penuh kedukaan, yang menyaksikan rentetan
peristiwa malang.
Walaupun awal tahun 2000 memberikan kelegaan buat
pendokong reformasi kerana kekalahan teruk Umno pada pilihan raya lalu, namun
cengkaman kuasa kuku besi Barisan Nasional makin digiatkan. Majalah dua kali
sebulan, Detik, yang telahpun diberikan kelulusan oleh pegawai Kementerian Dalam
Negeri pada 9 Dis, dengan sewenang-wenangnya telah ditarik balik oleh Dollah
Badawi.
Akhbar Harakah, yang sebelumnya diterbitkan dua kali seminggu, kini
menjadi dua kali sebulan. "Akhbar hari ini dalam sejarah," kata Mat
Sabu. Mingguan politik, Eksklusif, milik Karangkraf, yang langsung tiada kena
mengena dengan pembangkang, baik secara langsung atau tidak langsung, juga turut
menjadi mangsa kerakusan Dollah Badawi. Walaupun difahamkan Dollah berjanji di
depan mimbar masjid di Port Dickson bahawa permit Eksklusif akan disambung, tapi
semua kita maklum nasib malang Eksklusif.
Kalau akhbar mingguan seumpama
itu pun boleh diharamkan, saya tak tahu akhbar yang bagaimana boleh dibenarkan
oleh Dollah untuk mengulas pergolakan semasa dalam negara ini. "Dollah cukup
tidak bertimbang rasa dan kejam apabila mengharamkan Eksklusif. Malah Dollah
menjadi semakin tidak waras apabila mengharamkan majalah remaja Wasilah,"
kata seorang pensyarah media. Mungkin Dollah bimbang Wasilah, secara halus, dapat
mempengaruhi remaja -- yang pada 2004 nanti akan menjadi pengundi -- untuk
meranapkan BN. Tanpa dokongan pengundi baru, nasib BN tidak sukar untuk ditelah:
mati ditelan bumi!
Tak tahu lagi bagaimana mahu saya gambarkan betapa pedih
dan pilunya hati mengenangkan tindakan ganas kerajaan BN menodai media yang tidak
sealiran dengannya. Apakah masih relevan untuk kita bercakap soal kebebasan media
di negara tercinta ini apabila seluruh industri ini dikongkong mutlak pemerintah.
Bayangkan, untuk menerbitkan apa saja makalah bersiri kita perlukan permit. Dan
permit ini mesti dipohon kepada KDN. Jangan tanya apa syarat yang boleh memudahkan
kelulusan permit. Secara rasmi pemohon tidak akan diberitahu kerana Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan melindungi KDN seluas-luasnya. Menurut akta itu, apa saja
keputusan yang dibuat oleh KDN tidak perlu disertakan dengan alasan. Mereka bebas
bertindak apa saja, khususnya menolak sebarang permohonan untuk menerbitkan akhbar
atau majalah semasa oleh individu tertentu yang telahpun disenaraihitamkan. Lalu,
kalau kita tidak diberikan permit, apa yang boleh kita lakukan? Mahu menjerit,
turun berdemonstrasi, melobi tokoh-tokoh masyarakat seperti yang dilakukan
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)? Mahathir dan Dollah tidak kisahkan itu
semua. Jeritlah, pekiklah! Amalan sedia zalim dan menindas itu akan terus
berkuatkuasa. Mahu tulis dalam internet? Lantaklah! Mahu terbitkan akhbar tidak
berkala atau makalah politik tidak berkala? Terbitkanlah!
Mahathir dan
Dollah arif benar tentang pengaruh media yang boleh kita terbitkan: Alah, setakat
mana kemampuan mereka untuk bertahan! Dan ingat, unit penguatkuasa KDN semakin
rancak merampas bahan-bahan yang dikatakan tidak berlesen itu. Penerbit kecil yang
tidak seberapa modal dan keupayaan kewangannya tentu akhirnya akan mengalah dengan
karenah undang-undang yang dikenakan. Pengedar pula pastinya tidak mahu menanggung
risiko turun naik mahkamah hanya kerana menjual dua tiga keping akhbar tidak
berkala itu. Yang penting, bagi Mahathir dan Dollah, suara-suara kritikan dan
teguran ini mesti dimatikan. Ya, berapa ramai pengamal media bebas yang sedia
bertarung dengan Mahathir dan Dollah itu? Hanya dua tiga kerat itu saja yang
bertungkus-lumus mencari cari jalan keluar. Itupun baru terhegeh-hegeh mencari
jalan keluar, masih tak nampak formula penyelesaiannya.
Dan lebih malang
lagi, isu kebebasan media masih belum diperkatakan sebagai isu nasional. Suhakam
pun nampak membisu dengan isu ini. Entah apa yang ditunggu lagi oleh mereka.
Memang Suhakam akan mengeluarkan laporan tahunannya ke Parlimen tapi yang kita
tagihkan ialah kenyataan awal tentang senario persuratkhabaran di negara ini yang
semakin tenat. Kita sudahpun membentangkan satu dua isu khusus tentang pengharaman
Wasilah, Detik dan Eksklusif. Kalau itu belum mencukupi, kita bersedia untuk
memberikan lebih banyak bukti dan keterangan yang boleh membantu.
Soalnya,
apakah KAMI perlu terus menaruh harapan buat Suhakam, atau lupakan saja! Kita
rintis jalan kita sendiri, tapi bagaimana jalannya? Setakat mengusung keranda
Detik, apa Mahathir dan Dollah peduli. Kalau tokoh sehebat Anwar boleh ditangkap,
dibelasah dan dipenjarakan, apalah bagi wartawan kerdil seperti kita ini.
"Mampus keraslah," kata kawan saya, pemilik Almarhum Wasilah.
Memang
untuk menyenaraikan lebih banyak lagi majalah atau akhbar yang akan diharamkan,
tidak termampu oleh kita. Ya, apa lagi majalah atau akhbar sedia ada yang perlu
diharamkan kerajaan. Tak ada! Cuba kita cari di pasaran, masih wujudkah makalah
yang diberikan permit yang mengamalkan kewartawanan bebas tanpa takut kepada
pemerintah? Pokok pangkalnya kerajaan sudah mengawal mutlak proses pemberian
permit penerbitan. Kalau Dollah tidak izinkan permit buat akhbar bebas, tentulah
mereka tidak perlu bersusah payah untuk mengharamkannya nanti! Itukan logik mudah.
"DETIK
DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN
MEDIA"
Ucapan
Khas: Kami kakitangan detik.daily mengucapkan "Selamat
Berpuasa " Dan Juga "Selamat Hari Raya Aidil Fitri "Yang
Bakal tiba tidak lama lagi. Maaf Zahir Dan Batin Di Minta.Terima kasih di
atas
segala kerjasama anda semua terutamanya penulis - penulis siber yang banyak
membantu kami dalam mengendalikan laman web ini dan juga laman laman web
lain yang juga memberi sokongan padu kepada kami..
|
DISEMBER INI GENAP SETAHUN DETIK
DIHARAMKAN! TAHUN 2000 TAHUN YANG MALANG BAGI KEBEBASAN AKHBAR DI MALAYSIA
KAMI
MEMINTA KEPADA MENTERI KEMENTERIAN DALAM NEGERI SUPAYA HENTIKAN PENCABULAN
TERHADAP MEDIA !!
(Dapatkan akhbar "Keluaran Khas"
"FITRI" Sempena Hari Raya Aidil Fitri Yang Pasti Mengegarkan Dunia
Politik Malaysia ) |